Perkembangan

Perkembangan SNSD
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 22, 2011
snsd
Perkembangan nyanyian dan lagu kumpulan SNSD atau juga dikenali sebagai Girl’s Generation kini menjadi perbualan hangat peminat muzik K-Pop di serata Asia. Malah ada yang mula membandingkan mereka dengan kumpulan K-Pop wanita lain. SNSD telah menerbitkan tiga album Korea, tiga mini album dan satu album dalam bahasa Jepun.

Album solo mereka Gee yang dikeluarkan pada 2009 memegang rekod paling lama lagu nombor satu dalam carta Music Bank KBS iaitu selama sembilan minggu berturut-turut.

Kumpulan ini juga pernah memenangi beberapa anugerah pada 2009 dan tahun lalu termasuk memenangi anugerah Artist of the Year (Daesang) dalam anugerah Seoul Music, anugerah Golden Disk, anugerah Melon Music, dan anugerah Korean Cultural Entertainment.

Kumpulan muzik Korea Selatan yang terdiri dari sembilan ahli iaitu Taeyeon, Jessica, Sunny, Tiffany, Hyoyeon, Yuri, Sooyoung, Yoona dan Seohyun ini mula memasuki pasaran jepun pada akhir tahun lalu di bawah syarikat Nayutawave Records, juga merupakan sebahagian daripada syarikat Universal Music. Sejak akhir-akhir ini ramai peminat mula membandingkan mereka dengan sebuah lagi kumpulan K-Pop wanita iaitu Kara di mana mereka dikatakan kurang menyerlah berbanding kumpulan tersebut.

Namun SNSD tidak mengakui kenyataan yang dibuat. Dalam sebuah rancangan radio MBC Radio Star, SNSD menjelaskan, mereka juga tidak kurang hebatnya berbanding Kara.
“Ia bergantung pendapat peminat. Kami juga melakukan persembahan di tempat dan pentas sama dengan Kara. Jadi tidak ada beza kami dengan mereka.

“Kami juga mempunyai peminat kami sendiri di Korea dan Jepun. Malah ada mengatakan kami lebih popular berbanding mereka. Peminat yang menentukan. Kami pun tidak tahu kenapa mereka mengatakan begitu,” kata Gyuri, selaku ketua kumpulan.

Selain dibanding dengan kumpulan K-Pop wanita, mereka juga tidak dapat lari dari terus dikaitkan dengan kumpulan lelaki seperti Super Junior dan DBSK.
SNSD hos rancangan sendiri

Ramai gemar mengikuti perkembangan lanjut kumpulan gadis cantik ini. Malah ada menawarkan mereka mengacarakan program rancangan televisyen.

Terbaru, SNSD bakal mengacarakan rancangan televisyen mereka sendiri melalui siaran kabel terbaru jTBC yang diumumkan pada 15 November lalu. Rancangan yang bertajuk SNSD Show akan menampilkan kesemua ahli kumpulan mereka sebagai hos.

Penampilan ini menjadikan mereka kumpulan K-Pop wanita pertama yang mempunyai program televisyen sendiri.

Rancangan itu juga dijangka ke udara setiap hari Ahad pada jam 7 hingga 9.10 malam. jTBC bagaimanapun enggan mendedahkan tarikh sebenar bila rancangan itu ke udara, tetapi dikatakan mereka akan melancarkan siaran mereka pada 1 Disember nanti.
Sumber :  http://www.sinarharian.com.my/hiburan/snsd-kurang-popular-1.7136

Tidak ada komentar:

Posting Komentar